Frenz Of BRO LAY LOW

Selamat datang Ke Blog Bro Lay Low. Tulisan dan artikel yang dipaparkan adalah untuk bacaan dan ianya berdasarkan pertimbangan Penulis. #Berjuang

Thursday, 25 May 2017

HOT! Ketua Kumpulan Geng Pam ditembak mati...

Polis menembak mati seorang penjenayah paling dikehendaki dan dipercayai dalang utama kumpulan Geng Pam dan Geng 04 di Jalan Air Kuning – Kampung Gajah hari ini.

Dalam kejadian jam 3.30 petang, suspek yang berusia 40 tahun maut di lokasi kejadian selepas terkena dua tembakan di dada.

Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan, berkata siasatan awal mendapati suspek dipercayai terbabit dalam kegiatan samun jentera berat di sekitar daerah Muallim, sekitar Tapah, Ayer Tawar dan Manjung membabitkan kerugian melebihi RM500,000.

Katanya, hasil semakan mendapati suspek mempunyai tujuh rekod jenayah dari tahun 2006 hingga 2013 membabitkan samun dan curi kenderaan serta pernah ditahan di Simpang Renggam, Johor, selain pernah terbabit dalam kes bunuh.

“Semakan lanjut turut mendapati suspek dipercayai terbabit dalam aktiviti kumpulan kongsi gelap di Selangor dan Kuala Lumpur dan disyaki menjadi ketua kumpulan Geng 04  dan Geng Pam di Ipoh,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Beliau berkata, ketika kejadian polis yang melakukan rondaan terserempak dengan sebuah kereta jenis Honda City dinaiki suspek dalam keadaan mencurigakan di Jalan Air Kuning – Teluk Intan sebelum semakan mendapati nombor pendaftaran kereta itu adalah palsu dan dipercayai dicuri di Kuala Lumpur.

“Susulan itu, polis mengarahkan suspek memberhentikan kenderaan namun dia memecut laju ke Jalan Air Kuning – Kampung Gajah sejauh kira-kira empat kilometer (km) sebelum kereta suspek terbabas ke sebelah kiri jalan.

“Suspek kemudian keluar dari kenderaan dan melepaskan tiga das tembakan ke arah kereta polis dan anggota membalas tembakan dan dua daripadanya terkena di dada suspek,” katanya.

Hasnan berkata, susulan kejadian itu, suspek disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala hasil pemeriksaan dalam kereta menemui tiga bilah parang dipercayai digunakan untuk menyamun.

“Polis sudah mengenal pasti enam individu yang dipercayai terbabit dalam kegiatan samun jentera berat dan kini giat menjalankan operasi mengesan semua suspek.

“Mayat suspek dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat selepas siasatan selesai dijalankan,” katanya.-sumber

No comments:

Post a Comment