Frenz Of BRO LAY LOW

Selamat datang Ke Blog Bro Lay Low. Tulisan dan artikel yang dipaparkan adalah untuk bacaan dan ianya berdasarkan pertimbangan Penulis. #Berjuang

Monday, 8 May 2017

AZMIN ALI TIADA MANDAT JADI MB...?

Pada Ogos 2014, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengadap Sultan Selangor dan menamakan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai salah satu calon untuk jawatan Menteri Besar Selangor.

Sekaligus ia membuka ruang kepada Azmin dilantik bagi menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim walaupun PKR dan DAP ketika itu bertegas mahu Presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengisi jawatan tersebut.

Ini bermakna, Hadi turut mempunyai peranan di dalam pelantikan Azmin selepas Ahli Parlimen Marang itu dititah mengadap Sultan Selangor ketika krisis menteri besar selepas Langkah Kajang oleh PKR bagi menyingkir Khalid.

Justeru itu, apabila Hadi tidak menolak kemungkinan akan berlaku peralihan kuasa pemerintahan di Selangor ekoran usul menamatkan kerjasama politik atau tahaluf siyasi PAS dengan PKR, kenyataan beliau tidak boleh dipandang sebelah mata oleh Pakatan Harapan (PH) Selangor.

Apatah lagi, Hadi berkata, semua pemimpin PAS di Selangor akan patuh kepada arahan kepemimpinan PAS terutama berkaitan isu berkenaan yang kini menunggu ketetapan Majlis Syura Ulama parti itu.

Azmin mungkin boleh menunjukkan bahawa beliau masih mempunyai sokongan terutama daripada Exco PAS yang hadir menyambutnya pulang dari luar negara tiga hari lalu.

Namun, itu tidak menggambarkan bahawa beliau mendapat sokongan seratus peratus daripada wakil-wakil rakyat PAS di negeri berkenaan jika mengambil kira kenyataan Hadi tersebut.

Perkara paling penting nanti dan mungkin boleh membuatkan kedudukan Azmin goyah adalah sekiranya Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mahu Adun Bukit Antarabangsa itu membuktikan bahawa beliau masih mempunyai sokongan dan mandat secukupnya bagi kekal sebagai menteri besar.

Kebiasaaanya Azmin akan mengadap Sultan Selangor pada setiap pagi Rabu sebelum mesyuarat Exco.

Bagaimanapun, memandangkan Sultan Selangor berada di luar negara sehingga hujung Khamis ini, Azmin mungkin akan mengadap pada Rabu depan kecuali dititah mengadap secara khusus pada bila-bila masa selepas baginda pulang sekiranya pihak istana merasakan perkara ini perlu.

Difahamkan Khalid juga berdepan situasi sama sebelum ini apabila ditanya sama ada beliau mendapat sokongan secukupnya untuk kekal sebagai jawatan ketika krisis dahulu.

Namun, setakat ini belum ada sebarang kenyataan rasmi dari Istana Selangor berhubung perkara ini.

Hadi juga dilaporkan berkata, perkara itu terpulang kepada budi bicara Sultan Sharafuddin Idris Shah selain berpandukan kepada perlembagaan negeri bagi menentukan kedudukan Azmin atau mengadakan pilihan raya awal

Sementara keputusan Majlis Syura Ulama atau kemungkinan titah mengadap, Azmin boleh kekal sebagai menteri besar. - SUMBER

No comments:

Post a Comment