Frenz Of BRO LAY LOW

Selamat datang Ke Blog Bro Lay Low. Tulisan dan artikel yang dipaparkan adalah untuk bacaan dan ianya berdasarkan pertimbangan Penulis. #Berjuang

Thursday, 13 April 2017

Jangan Pandang Sepi Pengkaderan - Penganalisis cc @NajibRazak @Zahid_Hamidi

PENGKADERAN dalam mana-mana parti politik kebiasaannya suatu tuntutan. Hal ini bagi memastikan ke­langsungan sesebuah parti terutamanya untuk parti pemerintah yang puluhan tahun mengekalkan status quo mandat rakyat setelah menempuh berbelas-belas pilihan raya.

Masih ingatkah lagi bagaimana kemunculan ­pemimpi­n­-pemimpin muda dalam Pas dan PAN yang bukannya secara tiba-tiba. Antaranya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang, Saari Sungib; ADUN Morib, Hasnul Baharuddin; Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr. Mujahid Yusof dan bekas Ahli Parlimen Pas Kuala Selangor, Dr. Dzulkefly Ahmad yang kebanyakannya suatu ketika dahulu ahli Islamic Representative Council (IRC).

IRC adalah model pengkaderan yang boleh dikira model paling berjaya. Bahkan, ada dalam kalangan IRC yang radikal dan lebih agresif telah memperkenalkan Parti Negara Islam seperti Khalid Samad, tetapi tidak mendapat sambutan. Mereka akhirnya akur dan memilih menggabungkan diri dalam Pas.

Antara pemimpin lain di peringkat junior yang melalui pengkaderan ialah Dr. Mujahid (kini berada dalam PAN) yang pernah menggerakkan Gerakan Harapan Baru (GHB). Modus operandi ini jelas disebut secara bertulis selepas IRC gagal menguasai sebuah pertubuhan Islam dari dalam.

Mereka daripada IRC ini dikatakan mula mengambil langkah melemahkan Pas dengan menarik keluar seramai mungkin ahli pertubuhan Islam itu. Pergolakan merebut jawatan Menteri Besar Selangor beberapa tahun lalu membongkar warna sebenar mereka yang dulunya menyertai Pas. Sebahagian ahli Pas telah meraguinya dari dulu dan tembelangnya pecah juga akhirnya.

Pertubuhan ini pada mulanya, seperti yang disebut pada awalnya, dikenali sebagai IRC. Kemudian bertukar menjadi Jemaah Islah Malaysia (JIM) sebelum dijelmakan sebagai Ikram. Mereka mencatur orang mereka untuk merancang menguasai Pas.

IRC, JIM dan Ikram antara secebis kisah pengkaderan yang terancang mengikut skrip arahannya. Pengkaderan pada hemat penulis ialah proses menggilap semula ke­sedaran, keinsafan, pemahaman mengenai sejarah perjua­ngan, jatuh bangun parti, melihat cabaran kini dan masa depan serta membangun tekad bahawa idealisme perjuangan perlu hidup kerana tanpanya UMNO boleh hilang dukungan generasi muda.

Umpamanya dukungan terhadap memperkasa umat Melayu dengan menjadikan Islam sebagai tunjangannya adalah sesuatu yang amat relevan dengan perkembangan zaman. Islam yang sifatnya ketamadunan harus menjadi asas transformasi kepada parti UMNO dan orang UMNO.

Asas kepada relevan ini terbukti menamatkan kekecohan pembentangan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU 355 di Parlimen baru-baru ini. Walaupun diasak oleh Pakatan Harapan diketuai DAP untuk menghalangnya, RUU 355 akhirnya berjaya juga dibentangkan oleh Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Berbalik kepada pengkaderan dalam UMNO, penulis percaya kerja lebih keras harus diperhebatkan lagi. Semasa bertemu dengan rakan-rakan perniagaan di luar negara baru-baru ini, penulis banyak ‘disogok’ dengan idea-idea untuk memperkukuhkan lagi institusi pengkaderan ini.

Namun cerita yang hinggap pada telinga tidak kurang juga terkesan di hati. Antaranya, ada yang menyebut daripada 17,000 pelajar Malaysia di United Kingdom, tidak sampai 30 peratus pun menyokong kerajaan. Dikhabarkan ‘jumlah undi’ serupa turut menyelimuti kira-kira 7,000 pelajar negara ini di Amerika Syarikat dan juga terpalit kepada kira-kira 16,000 pelajar Malaysia di Australia dan New Zealand.

Ada pelajar Malaysia yang minum petang di Leicester bersama penulis menyatakan, kalau pun Barisan Nasional (BN) melepasi cabaran getir Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), belum tentu ranjau PRU-15 akan sama skripnya. Pelajar ber­kenaan menarik perhatian mengenai undi popular diperoleh BN sebanyak 47.38 peratus dalam PRU-13 lalu berbanding 50.87 peratus diraih pakatan pembangkang.

Seperkara yang agak menyentap hati penulis ialah apabila dikhabarkan pemimpin penting kerajaan di tanah air yang apabila dijemput untuk memberi ceramah kepada pelajar Malaysia di UK, responnya agak mendukacitakan. Tidak ramai turun. Kalau turun padang pun, mereka menginap di hotel. Ini berbeza dengan mereka dari blok pembangkang yang makan dan duduk dengan pelajar.

Lihat pergerakan pelajar terbaharu yang ditubuhkan oleh blok pembangkang di UK iaitu Malaysia Progresive United Kingdom (MPUK). Mereka ini begitu agresif menyusun atur aktiviti untuk mempengaruhi pelajar-pelajar kita di sana khususnya.

Sebenarnya telah banyak pendekatan yang dilakukan oleh UMNO dan kerajaan untuk memperkasa Islam dalam institusi ilmu dan pendidikan, muamalah, tijarah dan ekonomi. Ini termasuklah menyantuni kelompok miskin dan terpinggir, syariat dan media yang seharusnya diperkukuhkan lagi dalam bidang-bidang yang lain.

Lantas ini memerlukan proses pengkaderan ahli-ahli UMNO untuk memastikan idealisme perjuangan sentiasa segar dalam ingatan, pemahaman terhadap cabaran terkini harus semasa dan persiapan untuk meneruskan perjuangan sentiasa berada di landasan yang strategik dan maslahah yang bijaksana.

Perjuangan UMNO dan umat Melayu adalah suatu simbiosis. Memperkasa umat Melayu adalah memperkasa Islam sekali gus. Konsep umat yang membawa maksud Islam apabila ‘ditindikkan’ dengan potensi bangsa Melayu adalah sinergi yang bertenaga untuk mencetuskan perubahan atau transformasi.

Strategi pengkaderan yang berterusan dalam kalangan seluruh warga UMNO bakal mengukuhkan lagi tekad perjuangan untuk memartabatkan Islam sebagai asas perubahan dan kemajuan di Malaysia. Ia adalah suatu taklif atau amanah bagi setiap warga UMNO bahawa perjuangan untuk memperkasa umat Melayu dan Islam khasnya masih belum selesai.

DATUK AHMAD FARIS ABDUL HALIM ialah penganalisis isu-isu semasa. - sumber

No comments:

Post a Comment