Frenz Of BRO LAY LOW

Selamat datang Ke Blog Bro Lay Low. Tulisan dan artikel yang dipaparkan adalah untuk bacaan dan ianya berdasarkan pertimbangan Penulis. #Berjuang

Tuesday, 24 January 2017

VIDEO TPM SERU KUASAI SEBARAN MEDIA SOSIAL, TANGKIS PERSEPSI NEGATIF RAKYAT TERHADAP UMNO, KERAJAAN! @NajibRazak @Zahid_Hamidi


Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Zahid Hamidi berkata, jentera siber  UMNO perlu melipat kali gandakan usaha mereka untuk menyebarkan maklumat dalam usaha untuk mengubah persepsi negatif rakyat terhadap UMNO dan kerajaan.

Ini sekaligus tegasnya menangkis segala fitnah dan tohmahan yang disebarkan oleh pihak pembangkang kepada rakyat melalui medium tersebut.

Menurut beliau yang juga merupakan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, perkembangan dunia teknologi hari ini memperlihatkan bahawa sistem komunikasi konvensional sahaja tidak mencukupi bagi  jentera-jentera UMNO berdepan dan memberikan penerangan kepada rakyat tetapi sistem komunikasi dan penyebaran maklumat melalui medium media sosial juga perlu dikuasai sepenuhnya.

“Biarpun sistem komunikasi konvensional itu kita kekalkan, namun jangan pula kita tertinggal dengan kebangkitan sistem komunikasi baru  dalam dunia teknologi hari ini.

“Kita lihat dalam perkembangan dunia hari ini, apabila teknologi telah menjadikan dunia hari ini tanpa sempadan, kita tidak boleh lagi berada di dalam keadaan jumud dan hanya berada  dalam kepompong sistem komunikasi yang lama sahaja”, katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian pelancaran Skuad Penerangan dan Media Wanita UMNO Malaysia yang diadakan di Dewan Tun Hussein Onn di PWTC di sini hari ini.

Jelas beliau lagi dalam satu kajian secara  rambang yang dibuat memperlihatkan biarpun jentera siber di kalangan UMNO hari ini berjaya menangkis tohmahan dan fitnah, namun jumlahnya terlalu kecil berbanding dengan gerakan jentera siber golongan ‘anti establishment’.

“Mengikut kajian tersebut, jumlah aktivis dan jentera siber UMNO hanya di sekitar 6.6 peratus sahaja yang mendokong usaha-usaha kerajaan ini di mana secara nisbahnya, setiap satu jentera siber kita, akan ada 15 jentera siber di kalangan mereka yang menentang kita.

“Ini bermakna pihak mereka menguasai 93.4 peratus yang jelas mampu menenggelami gerakan jentera siber UMNO hari ini,” jelasnya.

Beliau seterusnya menggesa jentera-jentera siber UMNO agar terus bekerja keras demi untuk memastikan UMNO mampu untuk menguasai medium komunikasi media sosial dalam usaha untuk memperbetulkan persepsi negatif rakyat terhadap UMNO dan pimpinan kerajaan, memandangkan PRU ke 14 yang akan menjelang tidak lama lagi.

“Kita perlu sedar dan sentiasa ingat, bahawa kita hari ini berada di dalam peperangan pemikiran dan persepsi.

“Mana-mana pihak yang menguasai peperangan persepsi  ini akan berjaya mengubah minda dan pola pemikiran rakyat atau pengundi mengikut acuan dan kehendak mereka”, ujarnya.

Beliau memberi peringatan ini kerana peperangan persepsi dan pemikiran ini telah membuatkan UMNO, BN hampir-hampir kecundang dalam PRU ke 12 dan ke 13 akibat kegagalan dan kealpaan menangani segala dakwaan serta tohmahan mereka yang bertaburan di media sosial.

“Berdasarkan pengalaman kita yang lalu, maka hari ini jentera-jentera siber UMNO perlu menggunakan kedua-dua cara komunikasi iaitu secara konvensional dan juga melalui media sosial dalam usaha kita untuk memulihkan kembali persepsi negatif yang selama ini ditanam oleh pihak pembangkang dalam pemikiran rakyat di negara ini, apatah lagi PRU ke 14 bakal menjelang tidak lama lagi,” tegasnya.

Selain itu, beliau turut melontarkan penghargaan kepada kepada jentera media sosial UMNO yang menurut  beliau telah bekerja keras selama ini untuk menyampaikan maklumat kepada rakyat melalui medium ini.

“Saya ucapkan tahniah kepada jentera-jentera media sosial kita di mana mereka telah bekerja keras dan berusaha sedaya upaya untuk menyebarkan maklumat serta menangkis segala tohmahan pihak pembangkang, namun mereka agak tenggelam dengan peratusan yang begitu rendah berbanding pihak mereka.

“Justeru itu, saya menyeru semua jentera media sosial UMNO pada hari ini, dengan dimulakan oleh pergerakan Wanita UMNO Malaysia, kita tidak boleh lagi berada di tahap 6.6 peratus sebaliknya kita mesti berusaha untuk berada pada tahap 93.4 peratus agar maklumat yang ingin kita sebarkan sampai kepada rakyat yang menjadi golongan sasaran kita.

“Dan saya yakin, bahawa jentera media sosial UMNO, khususnya di kalangan pergerakan Wanita UMNO mampu untuk menguasai ruang dan medium komunikasi media sosial dengan lebih baik lagi sehingga kita mampu untuk menenggelami gerakan jentera-jentera media sosial pihak pembangkang yang selama ini berleluasa menyebarkan fitnah dan tohmahan melalui medium ini,”ujarnya.-MediaUMNO

1 comment:

  1. Hello Bro...

    issue 1MDB bukan satu persepsi...Ini satu kenyataan.

    Issue tipu rakyat 2.6B sebagai derma pak Arab juga bukan persepsi... tapi kenyataan yang itu sebenarnya rompak duit rakyat.

    ReplyDelete