Frenz Of BRO LAY LOW

Selamat datang Ke Blog Bro Lay Low. Tulisan dan artikel yang dipaparkan adalah untuk bacaan dan ianya berdasarkan pertimbangan Penulis. #Berjuang

Monday, 16 January 2017

Demi Keselamatan: Perbanyakkan CCTV Berdefinisi Tinggi - TPM @Zahid_Hamidi

Kerajaan merancang memasang lebih banyak ka­me­ra litar tertutup (CCTV) berdefinisi tinggi dan mewujudkan pusat pemantauan CCTV sebagai usaha berterusan meningkatkan lagi tahap keselamatan awam di Malaysia.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kebanyakan CCTV yang digunakan di Malaysia pada masa kini masih menggunakan teknologi analog sehingga menyukarkan usaha mengenal pasti suspek.

“Di China, mereka menggunakan CCTV definisi tinggi yang membolehkan pengecaman le­bih terperinci dibuat. Selain itu, mereka menggunakan teknologi trekking dan memasang CCTV pada jarak setiap 50 meter di kawasan-kawasan panas,” kata beliau dalam sidang akhbar bersama media Malaysia pada hari terakhir lawatannya ke China di sini hari ini.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, dengan memberi penekanan kepada aspek keselamatan awam, kadar indeks jenayah di China menurun sebanyak lebih 50 peratus dalam tempoh 30 tahun lalu.

Katanya, antara faktor yang diberi tumpuan ialah melabur dalam mewujudkan aset dan perkakasan yang terkini lagi canggih bagi memantau, mengesan serta menjejak penjenayah selepas sesuatu jenayah dilakukan.

“Selain masalah kamera ana­log, kita di Malaysia masih meng­amalkan pemantauan CCTV secara berasingan, sendiri-sendiri atau secara silo.

“Apa yang diperlukan ialah kaedah pemantauan CCTV yang bersepadu untuk semua CCTV yang ada termasuk yang dipasang oleh kerajaan, pihak ber­kuasa tempatan dan syarikat swasta agar pencegahan dan pem­banteras jena­yah dapat benar-be­nar dilakukan de­ngan berkesan,” tegasnya.

Ditanya sama ada rancangan itu akan menambahkan lagi peruntukan bidang keselamatan dalam belanjawan negara yang akan datang, Ahmad Zahid berkata, perkara itu akan dibincangkan de­ngan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan.

Katanya, selain aspek aset dan perkakasan, tahap keselamatan awam di Malaysia boleh ditingkatkan lagi mela­lui penggubalan dasar serta polisi yang lebih tegas.

“Kita juga akan memupuk lagi komitmen jitu dalam kalangan pegawai-pegawai keselamatan dan penguatkuasaan melalui latihan di dalam dan luar negara, serta mengekalkan tahap disiplin yang tinggi.

“Selain isu perundangan yang ketat dan tindakan penguatkuasaan yang teratur, kerajaan turut merancang penambahan anggota keselamatan dan penguatkuasaan ke arah mencapai matlamat yang ditetapkan,” tambah beliau.

Menurut Ahmad Zahid, beliau melihat perlu ada ke­seimbangan antara kemajuan ekonomi negara dan kadar keselamatan awam memandangkan kedua-dua isu tersebut dilihat sebagai berkait.

“Tidak guna mempunyai ekonomi yang maju jika negara tidak lagi selamat, maka keseimbangan ini yang mahu kita capai demi masa depan rakyat serta negara yang lebih terjamin,” ujar beliau.-sumber

Bro: sokong demi keselamatan rakyat...

No comments:

Post a Comment